Pages

December 8, 2010

PROTON pindah kilang Lotus

ANTARA model Lotus yang sedang dipasang  di Norfolk, United Kingdom.
ANTARA model Lotus yang sedang dipasang di Norfolk, United Kingdom.
Jerman, Perancis dikenal pasti tempatkan semula operasi pengeluaran 

GROUP Lotus Plc, anak syarikat PROTON Holdings Bhd, bercadang memindahkan operasi kilangnya dari Hethel, Norfolk, United Kingdom (UK) ke negara Eropah Tengah susulan kesukaran mendapat pembiayaan bagi pengembangan operasi di negara itu.
Sumber industri berkata, pihak pengurusan kumpulan itu sedang mengenal pasti beberapa negara yang sesuai bagi menempatkan semula kilang pengeluaran kereta sport mewah yang kini memiliki kapasiti pengeluaran sebanyak 10,000 unit setahun itu.
“Antaranya, PROTON sedang mempertimbangkan beberapa negara termasuk Jerman, Perancis, atau Sepanyol sebagai destinasi pilihan bagi menempatkan semula kilang pengeluarannya tidak lama lagi,” katanya pada Berita Harian ketika dihubungi semalam. 

Beliau berkata demikian mengulas spekulasi mengenai cadangan penempatan semula operasi kilang Lotus di luar UK seperti dilaporkan beberapa akhbar utama UK. 

Spekulasi pemindahan itu semakin hangat diperkatakan setelah Group Lotus dilaporkan gagal memperoleh pinjaman bernilai 40 juta pound (RM197 juta) daripada kerajaan UK untuk digunakan bagi membiayai proses menaik taraf kilangnya di Norfolk. 

Jika proses menaik taraf kilang itu menjadi kenyataan, Group Lotus berupaya mencapai sasaran indeks petunjuk utama yang ditetapkan syarikat induknya, iaitu mengeluarkan lima model baru dalam tempoh 2015. 
Sumber itu berkata, meskipun proses menaik taraf kilang yang beroperasi berhampiran Norwich itu memerlukan kos yang tinggi, namun ia bukannya semata-mata memanfaat kumpulan itu saja tetapi turut membantu UK mewujudkan 1,200 peluang pekerjaan dalam tempoh 18 bulan. 

Pihak pengurusan PROTON, bagaimanapun gagal dihubungi bagi memberi maklum balas mengenai perkara itu. 

Sumber itu berkata, keputusan memindahkan operasi kilang itu tidak dilakukan secara terburu, sebaliknya pihak pengurusan sentiasa mengadakan dialog serta rundingan dengan pihak berkuasa dan pengawal selia tempatan bagi mencari langkah terbaik untuk menyelesaikan isu peningkatan kos operasi pengilangan di Norfolk. 

“Ketika ini, kos pembangunan untuk mengeluarkan supercar di kilang Lotus dianggarkan menelan belanja sehingga 150 juta pound seunit (RM740 juta) dan ia dibiaya menerusi sumber dalaman Group Lotus. 

“Namun, memandangkan keperluan bagi pembangunan sesebuah model baru sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran masa dan permintaan, sudah tentu ia memerlukan pelaburan yang besar khususnya bagi pembelian mesin dan peralatan selain digunakan bagi mengembangkan lagi barisan pengeluaran kereta. 

“Justeru, dengan peningkatan kos operasi semasa, pihak pengurusan kumpulan perlu mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengurangkan bebanan tambahan diperlukan ini,” katanya. 

Katanya, daripada barisan model baru yang akan diperkenalkan oleh Lotus sepanjang tempoh sehingga 2015 itu, beberapa model turut dikenal pasti untuk dibangun dan dikeluarkan di beberapa kemudahan pengeluaran lain sama ada di Asia mahupun di Eropah. 

“Ia termasuk mengadakan kerjasama dengan beberapa syarikat automotif asing lain, termasuk perlantikan mereka sebagai pengeluar kelengkapan asli (OEM) bagi pihak Lotus dan langkah itu dilihat antara opsyen terbaik PROTON dan Group Lotus dalam mengukuhkan tahap kecekapan selain mengurangkan kos,” katanya. -bharian.com.my

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...