Kemalangan meragut nyawa tiga beranak berlaku di Kilometer 53 jam 12 tengah hari semalam. Pemangku Ketua Polis Daerah Grik, Asisten Superintendan Zulkifli Hashim, berkata tiga beranak yang maut di tempat kejadian selepas Perodua Alza mereka bertembung sebuah Toyota Wish adalah Wan Sarwani Zainol, 34, serta dua anaknya, Muhammad Imran Haziq Mohd Zainuddin, 3, dan Muhammad Izwan Hanif, 9.
Seorang daripada enam individu dalam Toyota Wish dikenali sebagai Halijah Ahmad, 67, disahkan meninggal dunia di Hospital Grik (HG).
Kejadian juga menyebabkan tujuh cedera, termasuk suami Wan Sarwani, Mohd Zainuddin Omar, 35, dan seorang lagi anak mereka, Muhammad Iqbal Hakim, 13, yang parah dan dihantar ke Hospital Taiping (HT), manakala lima individu dalam Toyota Wish cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di HG.
Mohd Zainuddin memandu kereta dari rumah mereka di Taman Baung Perdana, Pengkalan Chepa, Kelantan ke FELDA Peloi Timur, Kuala Ketil, Kedah apabila keretanya hilang kawalan ketika melalui selekoh menuruni bukit lalu berpusing beberapa kali sebelum merempuh Toyota Wish yang datang dari arah bertentangan.
Pasangan suami isteri berkenaan difahamkan bertugas sebagai pembantu perubatan kanan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan. -bharian.com.my
No comments:
Post a Comment