Pages

June 11, 2009

Kepada Exorian semua, tolong jangan jadi macam ni...

Budak tiga tahun lemas dalam MPV

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun mati dipercayai lemas ketika bermain seorang diri dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) bapanya di Kampung Batu 9, Jalan Keretapi di Kuala Lipis, petang kelmarin. Dalam kejadian jam 2 petang itu, Mohd Farhan Aiman Mustafa, ditemui dalam keadaan lemah oleh bapanya, Mustafa Majid, 39, di tempat duduk penumpang tengah kenderaannya selepas mencari beberapa ketika apabila menyedari kehilangan anak bongsu daripada lima beradik itu. Melihat keadaan Mohd Farhan yang tidak bermaya, Mustafa cuba memberi bantuan pernafasan sebelum mengejarkannya ke Hospital Lipis, tetapi disahkan meninggal dunia beberapa minit kemudian. Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas. Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata keluarga Mustafa dari Taman Balok Jaya di sini tiba di Kuala Lipis untuk melawat ibunya yang lumpuh separuh badan. “Mereka sekeluarga tujuh orang yang menaiki MPV tiba jam 12 tengah hari dan terus memasuki rumah. “Kira-kira dua jam kemudian mereka sekeluarga menyedari kehilangan mangsa dan mencari seluruh rumah, sebelum menemuinya dalam keadaan lemah dan terbaring di tempat duduk tengah kenderaan berkenaan. 

“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai keluar rumah seorang diri untuk bermain di dalam kenderaan yang tidak berkunci tanpa pengetahuan keluarganya. “Mangsa dipercayai memasuki kenderaan itu dan menutup pintunya, mengakibatkan beliau lemas kerana tingkap kenderaan berkenaan juga tertutup,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Abdul Razak berkata, bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Lipis, jam 3.45 petang kelmarin. Beliau berkata, kecuaian ibu bapa yang tidak mengunci kenderaan antara punca kanak-kanak mudah memasukinya. Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut. Sementara itu, ibu mangsa, Mimi Azura Zaidon, 35, ketika dihubungi enggan mengulas mengenai kejadian yang menimpa anak mereka. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment