PROTON Holdings Berhad (Proton) menyasarkan semua kenderaan yang ditempah akan diserahkan dan sampai kepada pelanggannya sebelum menjelangnya Aidilfitri, September ini.
TUKAR...Syed Zainal Abidin (kiri) bertukar dokumen dengan Presiden dan Ketua Eksekutif Sirim Berhad, Yahya Ahmad, semalam.
“Kita tidak meletakkan sasaran berapa unit akan terjual sempena perayaan, apa yang lebih diutamakan adalah memastikan semua tempahan sampai kepada pelanggan kerana Proton tidak mahu mengecewakan pembeli.
“Sehingga kini tiga model popular yang mendapat permintaan pembeli adalah Exora, Saga dan Persona, dan kami sedang berusaha mencapai sasaran itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pelancaran program realiti televisyen Idea: Malaysian Inventors' Challenge, semalam.
Program itu antara lain diterbitkan dengan kerjasama Sirim.
Bagaimanapun Syed Zainal Abidin berkata, Proton mencatatkan peningkatan jualan lebih baik pada separuh tahun pertama 2010 berbanding jumlah jualan pada tempoh sama tahun lalu dengan peningkatan lapan hingga sembilan peratus.
Katanya, kejayaan itu memberi motivasi kepada Proton untuk bekerja lebih keras dan ia juga menunjukkan produknya kini mula diterima masyarakat.
“Ini bermakna aktiviti pemasaran yang dijalankan sejak sekian lama sedikit sebanyak mendatangkan hasil dan rakyat Malaysia sudah boleh menerima produk Proton,” katanya.
Menurutnya, Proton turut menyasarkan peningkatan jualan tahunan 15 peratus pada tahun ini dengan 170, 000 unit Saga, Persona dan Exora disasarkan terjual dalam pasaran domestik.-hmetro.
No comments:
Post a Comment