Pages

July 8, 2010

Proton Beri Sumbangan Besar Kepada Ekonomi

Meskipun berhadapan dengan kritikan dan industri automotif yang mencabar, Proton, kereta nasional Malaysia yang pertama, telah memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi Malaysia dalam 25 tahun kewujudannya, kata Presiden Persatuan Pelabur Malaysia (MIA), Datuk Dr P.H.S. Lim.

"Industri automobil adalah satu industri yang sangat penting, dan tidak diragukan bahawa Proton berperanan dalam ekonomi negara.

"Sebagai sebuah industri, Proton, yang akan merayakan Jubli Peraknya esok telah menawarkan pekerjaan kepada beribu-ribu pekerja, dari pemasangan kereta hinggalah kepada staf jualan, di samping pekerja dalam sektor kewangan yang menyediakan pinjaman kepada pembeli kereta," katanya kepada Bernama di sini.

Lim berkata Proton telah menyokong banyak industri aksesori dan komponen kereta dan menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Kata beliau industri automotif Malaysia amat sengit persaingannya dan semua jenama kereta boleh dilihat di jalan raya Malaysia.

"Ini membuat Proton sukar mencabar kereta-kereta lain. Bagaimanapun ia harus memberikan tumpuan kepada kualiti, gaya dan penjenamaan untuk mencapai kecemerlangan sebagai kereta Malaysia agar suatu hari nanti Malaysia boleh berbangga dengan Proton," kata Lim.

Menurut seorang penganalisis, kemasukan Proton dalam pasaran automobil tempatan pada 1985 menyebabkan berlakunya perubahan besar-besaran dalam sturktur industri, yang ternyata daripada anjakan pasaran kereta domestik yang dahulunya bergantung kepada kereta import, terutamanya kereta buatan Jepun, kepada pasaran yang dikuasai kereta buatan tempatan.

"Hari ini bila kita memandu di lebuh raya, sukar untuk menidakkan betapa dominannya kereta nasional hasil gagasan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu sekarang," katanya sambil menambah bahawa kereta Proton merupakan dua pertiga daripada keseluruhan jumlah kereta yang meluncur di jalan raya Malaysia.

Kumpulan pertama kereta Proton dikeluarkan pada 1985, oleh satu usaha sama antara Mitsubishi Motor Corporation (MMC), Mitsubishi Corporation dan Heavy Industries Corporation of Malaysia (Hicom).

Walaupun bermula lembap, disebabkan oleh kemelesetan 1985-86 yang mengakibatkan kemerosotan permintaan dan peningkatan harga kenderaan ekoran kenaikan nilai yen Jepun berbanding ringgit, namun tidak lama kemudian pemulihan ekonomi Malaysia menyumbang kepada peningkatan pengeluaran dan penguasaan pasaran Proton.

Ini menjadikannya kereta penumpang paling laris di Malaysia.

Menurut penganalisis itu, pendapatan Proton meningkat dengan ketara berikutan bertambahnya jumlah jualan domestik, dengan disokong oleh permintaan kukuh bagi model Exora dan Saga.

Beliau berpendapat pelancaran model-model baharu akan mewujudkan permintaan yang lebih baik bagi kereta nasional itu pada masa akan datang.

Katanya penembusan pasaran-pasaran seberang laut seperti Indonesia dan Thailand memperlihatkan kejayaan dan dengan itu tidak disangsikan lagi bahawa kereta nasional itu akan berpeluang memecut ke destinasi yang lebih jauh lagi.-Bernama.

No comments:

Post a Comment