Pages

May 26, 2010

Proton Dengan Rasminya Sahkan Perbincangan Dengan VW

SHAH ALAM, 26 Mei (Bernama) -- Proton Holdings Bhd dengan rasminya telah mengesahkan perbincangan dengan Volkswagen dan keputusannya akan dimaklumkan dalam tempoh dua minggu.

"Kami akan membuat pengumuman bila tiba waktunya, mungkin dalam tempoh satu atau dua minggu," kata Pengerusinya, Datuk Nadzmi Mohd Salleh apabila ditanya mengenai keputusan perundingan Proton-Volkswagen.

Beliau, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Terdahulu, Pengarah Urusan Proton Group, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir mengumumkan keputusan kewangan berakhir 31 Mac, 2010, di sini Rabu.

Untuk tahun kewangan, beliau berkata Proton mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM285 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM319 juta dalam tempoh yang sama tahun 2009.

Beliau berkata yang pendapatan mengembang sebanyak 27 peratus kepada RM8.23 bilion berbanding RM6.49 bilion sebelumnya, dirangsang oleh jualan menggalakkan tiga model terasnya iaitu Saga, Persona dan Exora.

Proton turut mencapai kenaikan lapan peratus dalam jumlah jualan domestiknya, sekali gus meningkatkan penguasaan pasaran kepada 28 peratus daripada 26 peratus sebelumnya.

Syed Zainal Abidin berkata peningkatan prestasinya adalah hasil daripada beberapa inisiatif yang dilancarkan oleh pengurusan, termasuk meningkatkan portfolio produk, mengetatkan pengurusan kos dan memastikan kecekapan pembuatan.

Beliau juga turut memberi contoh penambahbaikan kualiti dan pemantapan ekosistem automotif menerusi pengukuhan wakil penjual dan vendor adalah antara beberapa faktor lain.

Menurut Syed Zainal Abidin, Proton menjangka memperkenalkan model baharu sama ada pada bulan Oktober atau November tahun ini.

Beliau yakin yang model baharu itu akan menyumbang dengan signifikan kepada kemampuan Proton untuk terus mengukuhkan penguasaan pasaran.

"Kami akan melabur dalam model baharu dan memastikan ia diterima di pasaran domestik dan pasaran eksport," kata beliau.

Mengenai rancangan pengukuhan kilang, Syed Zainal Abidin berkata keputusan akan dibuat tahun ini.

"Kajian mengenai pelan pengukuhan ini sedang dijalankan. Ia sesuatu yang penting kerana ia akan memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem. Kita perlu menguruskannya dengan cekap," kata beliau.

Bergerak ke hadapan, Syed Zainal Abidin berkata Proton dijangka meningkatkan projek Chinanya serta memuktamadkan dan melaksanakan kerjasama di India dan Iran.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...